Tinta Dari Dasar Hati Insan ....

HAKIKAT KEFAHAMAN SYAHADAH




Syahadah Pertama

Semua umat Islam telah sinonim dengan kalimah syahadah sebagai syarat diterima akidah  seseorang muslim itu. Begitupun malangnya ada segelintir muslim yang tidak tahu apa itu syahadah apalagi  mengucapkan kalimah syahadah iaitu لا اله الا الله . Hal ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan ianya menjadi perkara asas dan dasar dalam Islam dan menjadi fardhu ain bagi setiap umat Islam mengatahui dan memahaminya .

Para ulama terdahulu  menyebut kalimah pertama syahadah ini  sebagai kalimatul ikhlas . Maksudnya dengan syahadah kita mengikhlaskan segala perbuatan , ibadah dan segala apa yang kita lakukan  semata-mata hanya untuk Allah swt . Sedangkan surah yang memperkenalkan kita kepada nilai-nilai tauhid juga disebut Al-Ikhlas .

Bagi perbincangan yang lebih jauh lagi  timbul pertanyaan iaitu kenapa kalimah syahadah itu bukan لا رب الا الله? Sebelum penulisan ini dilanjutkan , telah diterangkan pada artikel sebelum ini yang bertajuk Konsep Ketuhanan yang menerangkan tentang  apa itu Rubbubiyah .

RUBBUBIYAH

Maksudnya ialah keyakinan dalam hati secara mutlak bahawa Allah yang mentadbir semua perkara di dunia ini.3 eleman penting dalam konsep Rububiyah ialah :

a) Allah swt Pencipta , Pemilik dan Pentadbir alam
b) Allah berkuasa memberi sesuatu mengikut kehendak-Nya
c)Kekuasaan Allah meliputi langit dan bumi

Dari perkara di atas dapatlah difahami bahawa semua manusia  mempercayai bahawa alam semesta ini telah dicipta oleh Allah dan mengetahui bahawa Allah paling berkuasa . Namun keyakinan ini hanya meletakkan Allah itu Rabb tetapi belum meyakini Allah itu sebagai Ilah . 

Hal inilah yang telah berlaku kepada  Abu Jahal , Abu Lahab dan orang kafir yang lain  di mana mereka tahu Allah itu wujud sebagai Rabb tetapi enggan menyambah-Nya . Ketika menjelang kewafatan Abu Thalib , terjadi perebutan antara Rasulullah saw yang mahu membisikkan kalimah syahadah dengan Abu Jahal dan Abu Lahab yang melarang Abu Thalib mengucapkan syahadah itu. Bahkan Abu Jahal mengatakan , aku sanggup mengucapkan 10 kalimat lain asalkan bukan kalimah syahadah itu . 

Maka jelas bahawa pengakuan Allah sebagai pencipta langit semesta dan pengakuan Allah sebagai satu-satunya Ilah yang wajib disembah itu kedua-duanya jauh berbeza . Allah berfirman yang bermaksud : 


" Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah . Tiada tuhan melainkan Dia . Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan zat Allah . Bagi-Nyalah kuasa memutuskan segala hukum , dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan " . ( Al-Qasas : 88 )



Mengunakan perantaraan

Mengakui Allah swt dan meyakini-Nya satu-satunya yang wajib disembah , tetapi cara menyembahnya salah , maka ia tidak menepati maksud  kalimah syahadah . Berhati-hatilah kerana ia boleh membawa kepada syirik . Contohnya , ia percaya kepada Allah , tetapi menyembah-Nya dengan menggunakan perantaraan . Ketika orang-orang musyrik ditanya kenapa mereka menyembah Allah melalui perantaraan . Mereka menjawab seperti yang dirakam dalam Al-Quran yang bermaksud :

" Kami tidak menyembah atau memuja-Nya melainkan supaya mereka mendampingkan kami  kepada Allah sehampir-hampirnya ..." (Az-Zumar : 3 )

Cara mereka yang salah ini pastinya membawa kepada tujuan yang salah . Perkara ini perlu diawasi kerana masyarakat kini telah menjadikan dukun , patung berhala sebagai tuhan 



Syahadah Kedua



Kalimah syahadah kedua iaitu محمد رسول الله pula digandingkan dengan kalimah syahadah yang pertama di atas . Apakah relevannya? 


Apabila kita mengakui wujudnya Allah dan menyembahnya , maka tentulah kita ingin mengetahui cara-cara dan hakikat penyembahan atau ibadah kepada Allah itu. Maka diutuskan Muhammad sebagai rasul utusan menjadi  contoh ikutan yang sesuai kepada manusia . 

Hal  ini kerana  syarat ibadah itu diterima itu ada dua iaitu :
a) Ibadah yang berlandaskan keikhlasan hanya kepada Allah semata-mata
b) Ibadah itu harus sesuai syariatnya seperti yang diajarkan oleh Rasulullah .



Mana mungkin kita hendak mendirikan ibadah tanpa diajar dan ditunjukkan bagaimana caranya sedangkan  Al-Quran itu tidak dapat menunjukkan cara perlakuannya dengan jelas melainkan melalui contoh perbuatan Rasulullah saw .




Syahadah dan Sejarahnya



Kalimah syahadah ini telah menyulusuri banyak rentetan peristiwa  mengikut masa  dan zamannya yang tidak pernah akan berhenti . Bermula dari peristiwa Qabil dan Habil yang  sanggup berbunuhan berpunca dari syahadah ini . Begitu juga  akan peristiwa Ashabul Kahfi yang mengasingkan diri di dalam gua kerana takutkan Allah dan hendak mempertahankan keimanan mereka.



Sudahkah kita lupa akan penyeksaan yang dihadapi oleh Bilal Bin Rabah . Tidak tergambarkan pula bagaimana Sumaiyyah mati dirodok dengan tombak . Yasir pula yang diikat kepada binatang yang sedang berlari . Semua mereka ini hidup semata-mata berjuang mempertahankan kalimah syahadah .


Sejarah tidak terhenti di situ apabila kita membaca kisah Ashabul Ukhdud  yang  sanggup mati setelah dengan redha mahu tubuhnya tertancap dengan panah hanya semata-mata untuk mempertahankan keimanannya kepada Allah.



Kisah mereka ini telah diabadikan oleh Allah dalam Al-Quran . Semua ini adalah jalan-jalan lurus yang perlu  diredah bagi membenarkan syahadah tersebut .




 
Kita bending bezakan pula bagaimana tragedinya  riwayat hidup seperti Qarun yang telah disesatkan dengan limpahan harta hingga buta hatinya bahawa Allah yang telah menjadikannya kaya . Begitu juga raja Firaun yang lemas dalam kekuasaannya sendiri sehingga menyangka dirinya sebagai Tuhan.


Perhatikan pula kaum  Nabi Luth yang telah hanyut dalam hawa nafsu songsang dan menyalahi fitrah akhirnya dimusnahkan Allah dengan sekelip mata .


Jangan dilupa juga pada kisah-kisah Bani Israil yang dikatakan telah mendapat  kemuliaan , penghormatan  yang luar biasa dan nikmat yang tidak terhingga daripada Allah . Namun merekalah kaum yang telah  mendustakan malah membunuh ramai para nabi .






Penutup

Begitu besarnya peranan dan pengaruh syahadah dalam kehidupan manusia yang sentiasa menuntut pemahaman dalam erti kata yang sebenar malah menuntut pengorbanan pula dalam mengharungi kehidupan  sebagai hamba Allah swt. Mengaplikasi dan merealisasikannya tidak semudah mengucapkannya .

Hayatilah  Firman Allah ini ;

" Katakanlah ( Muhammad ) , : Wahai Ahli Kitab ! janganlah kamu berlebih-lebihan dengan cara yang tidak benar dalam agamamu . Dan janganlah kamu  mengikuti keinginan orang-orang yang telah tersesat dahulu dan ( telah ) menyesatkan banyak ( manusia ) dan mereka sendiri tersesat dari jalan yang lurus " . ( Al-Maidah : 77 )


Sekian





3 comments:

UmmiRosma said...

A very good info...untuk membuka minda kita semua...

USTAZAH ZARINA said...

Terima kasih komennya ummi rosma

ong ong kedek kedek said...

salam kenal. thanks sudi ziarah blog gua...

good entry la cik kak :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...