Tinta Dari Dasar Hati Insan ....

HUKUM DAN ADAB-ADAB MENGUCAPKAN SALAM



Memberi salam  dan menjawab salam telah menjadi amalan kebiasaan kepada umat Islam . Keutamaan mengucapkan salam dapat dijelaskan kepada 3 iaitu :
  1. Melahirkan rasa kasih sayang dan saling prihatin antara umat Islam
  2. Sebagai doa  untuk keselamatan agama , kesejahteraan dan kesihatan  tubuh badan serta keselamatan dari pelbagai sifat iri hati , dengki dan sebagainya
  3. Sebagai tanda ketinggian dan kemuliaan akhlak serta toleransi seseorang dalam agamanya

Namun sejauh mana kita mengetahui dan memahami hukum dan adab-adab yang berkaitan salam ini. Mari kita perhatikan huraiannya.

TAKRIF SALAM

Salam pada bahasa bermaksud : keamanan , penghormatan , dan doa selamat dari bahaya  . Maka mengucapkan salam bererti memberikan keamanan , memberikan khabar gembira  keselamatan dan kesihatan kepada seseorang .Ucapan salam ini sangat besar dan mulia dalam Islam .

LAFAZ SALAM

Lafaz salam dalam islam ialah السلام عليكم yang bermaksud 'selamat sejahtera ke atas kamu semua' . Walaupun kalimah عليكم menunjukkan kepada ramai tetapi ia boleh diguna pakai untuk seorang . Ada pendapat yang mengatakan menggunakan kalimat عليكم lebih baik daripada menggunakan kalimat tunggal عليك . Ini kerana supaya malaikat penjaga manusia juga termasuk dalam salam yang diucapkan .

Menggunakan kalimah  عليك السلام hukumnya adalah makruh. hal ini berdasarkan hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi dengan sanad yang soheh dari Jabir Bin Salim ra beliau berkata :
" Aku pernah berjumpa dengan Rasulullah saw  lalu aku mengucapkan : عليك السلام يا رسول الله maka baginda bersabda : " Janganlah katakan ucapan demikian kerana ucapan itu digunakan untuk orang yang sudah mati " .

Namun larangan dalam hadis di atas adalah  larangan makruh tahrim , tidak dilarang sama sekali sehingga peringkat haram .


MENJAWAB SALAM

Hukum menjawab salam adalah wajib .

Menjawab salam dalam Islam ialah وعليكم السلام ( ada و dan berbentuk jama') , boleh juga menjawab dengan سلام عليك (tiada و dan tidak jama' ) tetapi lafaz ini menyalahi afdhal. Ini kerana  umat Islam di zaman salaf dan khalaf telah membiasakan mengucapkan dan menjawab salam dengan lafaz yang lebih afdhal ini . Maka ia dianjurkan supaya tidak berbeza dengan mereka .

Menjawab salam dengan jawapan yang paling lengkap iaitu وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته juga digalakkan . Bahkan apabila orang mengucapkan salam menggunanakan salam yang lengkap itu maka wajib juga menjawabnya dengan lengkap . 

Firman Allah Taala bermaksud : " Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan , maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik atau balaslah ( dengan yang serupa ) " -  ( An-Nisa' : 86 )

Cukupkah menjawab salam dengan isyarat ?

Tidak sah menjawab dengan isyarat kecuali jika tidak sanggup mengucapkannya kerana  jarak yang terlalu jauh tetapi jatuh hukumnya makruh kerana hal tersebut adalah cara menjawab salam bagi orang Yahudi dan Nasrani yang menggunakan isyarat jari dan tapak tangan.

Jika jawapan isyarat itu disertakan dengan ucapan disebabkan jarak yang jauh , lalu menjawab salam sambil mengangkat tangan atau menganggukkan  kepala agar ia tahu kita telah menjawab salamnya , maka hukumnya tidak makruh . 

Untuk orang yang buta dan bisu , manjawab salam mereka  diharuskan  dengan isyarat tanpa lafaz (ucapan ) . Akan tetapi jika isyarat itu diiringi dengan ucapan , ia lebih afdhal sebab mendapat dua pahala iaitu pahala menjawab dengan lidah dan pahala menjawab dengan isyarat .


BERKIRIM SALAM 

Sunat bagi seseorang untuk berkirim salam kepada saudara atau sahabatnya yang berada di kejauhan sama ada melalui sahabat atau surat . Ia bertujuan untuk menjaga hubungan kasih sayang dan silaturrahim. Situasi ini wajib menjawab salam tersebut melalui sahabat atau surat juga . Jika tidak sanggup maka memadai menjawabnya dengan spontan dan mendoakannya . 

Dalam sebuah hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim dari Aisyah ra berkata : Rasulullah saw pernah bersabda kepadaku ; " Jibril berkirim salam kepadamu " . Maka aku jawab :  وعليكم السلام ورحمة الله

Mengucap dan Menjawab salam dengan selain bahasa Arab 

Orang Arab boleh mengucapkan salam kepada orang ajam ( selain bangsa Arab ) dengan bahasa ajamnya , lalu dijawab orang ajam tersebut dengan bahasanya sendiri atau dengan bahasa Arab jika ia sanggup . Orang Arab boleh juga mengucapkan salam kepada sesama  orang Arab dengan menggunakan bahasa ajam dan menjawab dengan bahasa ajam juga .



HUKUM MEMULAI DAN MENJAWAB SALAM

1.Imam Malik , Imam Syafie dan Imam Hanbali berpendapat bahawa memulai salam hukumnya sunat muakkad dan kifayah , yakni ianya sangat dianjurkan  dan apabila diucapkan oleh satu orang  dari beberapa orang , maka telah memadai ( kifayah ) . Namun  apabila mereka semuanya mengucapkan ianya lebih baik .

Sedangkan Imam Hanafi dan sebahagian ulama' Malikiah  juga Hanbaliah  berpendapat bahawa hukum memulai salam adalah wajib . Hal ini berdasarkan hadis  dari Abu Hurairah ra , Rasulullah saw bersabda maksudnya :

                   "Hak seorang muslim lainnya ada enam . Sahabat bertanya , "Apa itu ya Rasulullah?" . beliau       bersabda : " Apabila engkau berjumpa dengannya , maka ucapkanlah salam , apabila ia memanggilmu maka jawablah , apabila ia menasihatimu maka terimalah nasihatnya itu , apabila ia bersin lalu memuji Allah maka doakanlah ia , apabila ia sakit , maka ziarahlah dan apabila ia mati , maka lawatlah ." (Riwayat Muslim ) 

2. Hukum menjawab salam pula , apabila yang menerima salam hanya satu orang , maka hukumnya menjadi fardhu ain baginya . Jika yang menerimanya jemaah ( ramai )  maka hukumnya fardhu kifayah . Di mana apabila satu sahaja di antara mereka menjawabnya, gugurlah kewajipan yang lainnya . Tetapi jika tiada seorangpun yang menjawabnya maka semua mereka berdosa . Jika mereka semua menjawab , maka itulah yang lebih baik .Apabila yang menjawab salam tersebut orang lain , bukan jemaah yang diucapkan kepada mereka salam , maka kewajipan menjawab belum gugur , jika tidak mereka semua berdosa .


PENUTUP

Perintah mengucapkan salam ini telah dirakamkan oleh Allah taala dalam AlQuran yang bermaksud :

"Apabila kamu masuk ke sebuah rumah maka ucapkanlah salam atas diri kamu sebagai penghormatan dari sisi Allah , ( penghormatan ) yang diberkati lagi baik " .

Selepas ini saya akan menyambung pula tentang hukum mengucap salam kepada orang yang sedang azan , sembahyang , membaca AlQuran dan sebagainya .

Insyaallah..............

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...