“Umi, ini untuk umi…..” tangan kakak menghulur sambil menyerahkan sekeping kertas . Zaid dan Adam tersenyum sambil menyerahkan juga sekeping kertas . Masing-masing menghasilkan kreativiti bakat melukis mereka. Tertera di dalamnya kata-kata ucapan seorang anak kecil yang gembira menyambut Hari Ibunya.
Aku sekadar mengucapkan terima kasih bagi menghargai mereka . Namun sehingga kini ibu mereka belum pun dapat menunaikan permintaan mereka. Permintaan mereka agar kad ucapan mereka dipamerkan dalam blog keluarga. Bagiku , cukuplah sekadar mereka memahami bahawa , keutamaan Hari ibu itu bukanlah pada sekeping kad dan ucapan. Malah ia lebih jauh dan lebih besar dari itu.
Ah…anak-anak !! Apa yang engkau fahami dan mengerti di saat kedewasaanmu yang belum tiba.Aku ibumu di sepanjang hidupmu hingga ke syurga. Pengasuh pembesaranmu , pendidik peribadimu,pecinta abadi untukmu.Ibulah segalanya pada setiap anak yang dilahirkan ke dunia.
Wahai insan bergelar Ibu!!
Suatu ketika nanti saat hidup membuah bahagia, kejayaan diraih, berstatus kerjaya yang baik, punya keluarga bahagia, ibumulah yang paling bahagia. Bahagia bukan kerana mengharap semua itu dari anak, tetapi bahagia dalam kepuasan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai menjaga amanah Allah.
Namun ketahuilah sekalian yang bergelar ibu ,tanggungjawab tidak berhenti sama sekali di situ.Bagaimana didikan agamanya, bagaimana pilihan calon pasangan hidupnya ,bagaimana rumahtangganya?Semuanya memerlukan kata nasihat dan panduan .Ini tidak bermakna mencampuri urusan hidup si anak, tetapi bagaimana membimbing anak itu hingga berjaya dunia akhirat. Wahai Ibu…. Tanggungjawabmu masih panjang!!
Wahai anak yang dilahirkan!!
Bagaimana ungkapan kasih ibu hingga ke syurga perlu difahami sedalamnya?Atau kata-kata biasa kita dengar syurga itu di bawah telapak kaki ibu? Ketahuilah…… sehingga ke penghujung usia , si anak akan terus menuntut kasih sayang berpanjangan dan si ibu pula menuntut perhatian mesra . Si ibu yang tua lemah tidak berdaya lagi. Nah , bagaimana nanti si anak akan menghadapi situasi ini? . Benci atau masih ada ihsan? Derhaka atau soleh yang engkau pilih?
Wahai anak!! Apakah perasaan mulia yang mesti ada pada seorang anak terhadap ibunya? Tentu hanya satu sahaja iaitu kasih sayang.Betapa besarnya nilai kasih sayang . Usahlah hendak dibandingkan dengan kekayaan dan kemewahan yang mengulit hidupmu.Lalu usah dibayar pengorbanan orang tuamu dengan kata yang menghancur hati meluluh jiwa kecilnya.
PESAN IBU
Mari fahami anakku !Hari Ibu bukan pada sambutannya, bukan pada kad ucapan dan bukan pula pada hadiah yang diberi. Saat dewasa dan kau membaca tulisan ini nanti, fahamilah sedalamnya akan pengertian seorang insan bergelar ibu!!
2 comments:
best entry :)alhamdulillah
Syukran Fahrain...alhamdulillah!!
Post a Comment