Fitrah ketuhanan atau fitrah beragama sememangnya wujud dalam diri setiap manusia . Fitrah ketuhanan yang ada dalam diri seseorang yang menyebabkan ia sentiasa mendorong akal yang dikurniakan Allah untuk berfikir tentang hakikat ketuhanan yang sebenar .
Maka jelaslah fitrah bermaksud sifat semulajadi yang ada pada setiap kejadian Allah manakala fitrah beragama ialah naluri semulajadi manusia yang mengakui adanya Allah . Ini dijelaskan dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu;Siapakah yang menurunkan hujan dari langit , lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?’.Sudah tentu mereka akan menjawab ; Allah”. (Al-Ankabut :63 )
Perhatikan pula dalam lembaran sejarah nabi di mana di awal kisah Nabi Ibrahim sebelum menerima wahyu pertama ,telah membantah perbuatan bapanya sebagai pengukir patung atau berhala untuk disembah oleh kaumnya dan baginda sentiasa tercari-cari tentang hakikat ketuhanan yang sebenar untuk melahirkan kesyukuran dan ketaatan kepada-Nya sebagai seorang hamba.
Firman Allah yang bermaksud : “ Dan (ingatlah) ketika nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Azar : Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?.Seseungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”. ( Al-An’am ayat 74)
Kita lihat pula sejarah awalnya Nabi Muhammad Rasulullah saw .Baginda sama sekali menolak amalan tradisi masyarakatnya dan mengasingkan diri di gua Hira’. Motifnya hanya satu untuk bermunajat memikirkan hakikat ketuhanan dan kebenaran . Perkara ini berlanjutan sehinggalah baginda didatangi Malaikat Jibril meyampaikan wayhu
SEJAUH MANA KEFAHAMAN KITA?
Bagaimana pula dengan kita ? Ya …apa yang dialami oleh nabi kita, begitulah juga sama dengan apa yang dialami oleh diri kita. Imbaslah kembali semasa usia kita hampir baligh. Apa yang ada dalam pemikiran kita sewaktu itu. Tidak lain hanyalah akal kita telah didatangi dengan satu pemikiran dan persoalan tentang siapa kita, dari mana kita datang, siapa pula yang mencipta kita dan seluruh kejadian di alam ini?
Saya kira anda semua juga tidak menafikan bahawa inilah yang dikatakan naluri ketuhanan yang sememangnya wujud dalam diri seseorang .Setiap orang yang bersih dan suci hatinya , mempunyai pemikiran yang matang dan penuh keinsafan .Dalam hati setiap manusia mengakui kewujudan Allah.Buktinya dilihat apabila manusia itu di saat menghadapi bencana yang dahsyat seperti lemas di tengah lautan . Apakah yang ada dalam fikiran kita saat itu? Sudah tentu kita mengharapkan pertolongan dari satu kuasa yang dapat menyelamatkan diri kita.
Keadaan inilah yang berlaku pada Firaun yang memohon pertolongan Allah daripada tenggelam di lautan ketika mengejar nabi Musa dan pengikutnya.( Lihat Al-Quran surah Yunus ayat 90). Namun Firaun terlambat untuk mengakui Allah itu Tuhan Yang Esa.
Kisah Firaun yang telah dirakamkan Allah dalam Al-Quran menjadi iktibar kepada generasi muslim seterusnya agar tidak sombong dan bongkak . Ia tentunya berpunca dari penafian terhadap nalurinya pada hakikat ketuhanan sehingga mengaku dirinya Tuhan.
DIDIKAN MENGENAL ALLAH PADA ANAK-ANAK
Jesteru , pengetahuan hakikat ketuhanan ini perlu disemai dan dibaja lebih awal lagi dalam diri anak-anak. Bimbingan kefahaman ini perlu diberikan agar anak-anak akan terbentuk menjadi hamba yang meletakkan Tuhan dalam dasar jiwa dan pemikirannya. Ini supaya setiap tingkahlakunya akan seiring dengan akhlak Islam dan tidak akan tersasar dari landasan agama .
Ramai di kalangan ibu bapa menganggap hakikat ketuhanan ini sangat berat untuk difahami anak-anak yang dianggap masih mentah .Hakikatnya ia wajib disampaikan berbekalkan ilmu dan mantik yang boleh menarik anak tersebut memahaminya. Mustahil jika ada anak kecil hampir baligh menafikan kewujudan Tuhan . Akal fikiran mereka yang masih bersih itu menerima dan mengakuinya jika ditimbulkan pertanyaan . Inilah yang dikatakan naluri beragama.
Selepas pengetahuan tentang hakikat ketuhanan ini ada pada setiap anak-anak, secara tidak langsung mereka akan mentaati kedua ibu bapanya dan menjadi anak yang soleh. Ini kerana mereka telah mengetahui dan memahami siapa diri mereka,dan dari mana mereka datang.
Kenapa demikian?
PENCIPTAAN MANUSIA
Saya yakin kebanyakan kita mengetahui bagaimana bermulanya penciptaan Adam a.s.
Allah berfirman bermaksud : “ Apabila aku telah meniupkan roh-Ku ke dalam dirinya (Adam) , maka bersujudlah kamu”.
Kejadian Adam sebagai manusia pertama kejadian, tidak sama dengan diri kita ini yang melalui proses pencantuman benih dan hidup di alam rahim. Namun Allah meniupkan ruh-Nya ke atas janin dalam kandungan sewaktu berusia 4 bulan hakikatnya menyamai penciptaan Adam yang ditiupkan ruh.
Apa yang hendak dijelaskan di sini, betapa mulianya seorang ibu yang mana rahimnya ditumpangkan Allah ruh-Nya dalam diri setiap anak yang dilahirkan. Atas sebab inilah saya yakin mengapa Allah itu meletakkan ibu insan yang wajib ditaati.
Jesteru kembalilah kepada kefahaman fitrah beragama dan ketuhanan sejak awal lagi kerana ia titik permulaan untuk menyeru manusia menjadi dan mengakui sebagai hamba kepada Allah penciptanya sehinggalah kita mati pulang ke pangkuan-Nya.
No comments:
Post a Comment