Tinta Dari Dasar Hati Insan ....

AKU DAN UJIAN ALLAH

Positif  Menerima Ujian

Di saat semua orang bergembira untuk melalui cuti panjang sempena cuti persekolahan, di hari terakhir  sekolah semua orang tersenyum ria menyembutnya , aku diuji Allah dengan jiwa dan hati yang sungguh  bergelodak dan  berkocak. Sedih apabila hari ini aku  ditekan dalam situasi yang tidak dapat difahami oleh mereka-mereka. Ya walaupun yang nampak salahnya orang lain, tapi serasa aku yang dicucuk duri berbisa. Kekadang  prinsip dan pegangan yang kuat di hati dan sanubari sentiasa direntap dan digoda bagi  menguji tahap kesabaran di saat berjuang mempertahankan prinsip itu . Maka setiap kali itulah  kita seharusnya menerimanya dengan sabar dan menganggapnya sebagai ujian Allah bagi mencorak dan mewarnai ranjau hidup .

Aku berpegang bahawa ujian   itu datang  dari Allah . Hikmahnya sudah pasti supaya kita sentiasa bermuhasabah diri untuk memperbaiki kesilapan yang lalu , membentuk fikiran yang lebih positif , kreatif, inovatif seterusnya gigih menghadapi cabaran hidup.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 155 - 156 yang bermaksud :

"Demi sesungguhnya, kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut ( kepada musuh) dan (dengan merasai kelaparan, dan kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila mereka apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan , mereka berkata : sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah tempat kami kembali."



Hidup Mesti Diteruskan

Dalam kegundahan yang tidak berkesudahan ini, aku gagahkan diri untuk memikir, merancang dan menulis  aktiviti dan planku  bagi  pengisian bermakna sempena cuti sekolah yang dah pun bermula . Jika sebelum ini (sebelum cuti ) rutin harianku mengikut keutamaan  ialah :

1. Urusan rumahtangga dan keluarga
2. Kerja-kerja sekolah
3. Membaca
4. Menulis blog

Secara keseluruhannya  semua tugas diatas dapat dilaksanakan dengan sempurna....alhamdulillah.Dalam kegelutan memegang status sabagai wanita berkerjaya,  urusan rumahtangga dan tanggungjawab keluarga juga dapat dilaksanakan dengan baik. Namun sedikit kecewa apabila tumpuan tidak dapat diberikan sepenuhnya terhadap pendidikan dan melayan kerenah anak-anak yang sentiasa menguji kesabaran. Diakui anak-anak murid pula yang diberi fokus sepenuhnya melebihi anak-anak sendiri di rumah. 

Kali ini aku harus beralih arah kepada anak-anakku pula.Saat melewati cuti yang akan ditempuhi ini, kuharapkan dapat menumpukan sepenuh perhatianku terhadap aktiviti-aktiviti anak-anak yang perlu dirancang dan disediakan agar mereka tidak bosan dan cuti mereka tidak berlalu pergi dengan sia-sia.Masa perlu dirancang dan diatur supaya dapat diisi dengan aktiviti bermenfaat dan lebih berkualiti walaupun dalam masa yang sesingkat cuma. Insyallah...........

Hatiku kembali tenang semula....


والسلام

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...