Tinta Dari Dasar Hati Insan ....

TAWAKAL SEBELUM BERUSAHA?


Sering kita dengar ungkapan “ usaha , doa , tawakal “ dan ia menjadi sebati dalam kehidupan kita seharian. Namun persoalannya adakah ia bermaksud :
a)Usaha dahulu kemudian berdoa dan bertawakal atau
b)Tawakal dan berdoa dahulu kemudian berusaha?

Apa yang  biasa difahami masyarakat kita pada hari ini kebanyakannya memakai guna   (a). Maka di sini saya ingin mengulas dan menghurai  pula  pada maksud (b).

Perlu difahami sebaiknya perkataan tawakal menjadi keutamaan dan lebih besar peranannya dari usaha.

KONSEP TAWAKAL

Sebelum itu mari kita perhatikan tentang konsep tawakal itu sendiri.

Tawakal adalah kesungguhan hati dalam bersandar kepada Allah Ta’ala untuk mendapatkan kemaslahatan serta mencegah bahaya, baik menyangkut urusan dunia mahupun akhirat

Menurut Imam Ahmad bin Hambal ;
Tawakal merupakan aktiviti hati, ertinya tawakal itu merupakan perbuatan yang dilakukan oleh hati, bukan sesuatu yang diucapkan oleh lisan, bukan pula sesuatu yang dilakukan oleh anggota tubuh. Dan tawakal juga bukan merupakan sebuah keilmuan dan pengetahuan. (Al-Jauzi/ Tahdzib Madarijis Salikin, tt : 337)
Imam al-Ghazali menyatakan tawakal satu manzilah (keberadaan) bagi orang beriman, bahkan tawakal darjat muqarrabin atau orang yang dekat dengan Allah.

Ali al Qari pula menyebut tawakal adalah mengetahui dan yakin tidak ada yang mampu berbuat dalam alam ini kecuali atas kehendak Allah.

Abu Ali Ad-Daqqaq berkata, tawakal itu ada tiga tingkatan. Tawakal itu sendiri, kata Abu Ali Ad-Daqqaq:“Berserah diri, kemudian pasrah. Orang bertawakal berasa tenang kerana ada janji daripada Allah, orang berserah diri cukup dengan pengetahuan mengenai Allah dan orang pasrah reda terhadap hikmah Allah. Tawakal adalah permulaan, berserah diri adalah pertengahan dan pasrah adalah penghabisan.”

Dalam al-Quran Allah berfirman bermaksud: “Dan percayalah (tawakallah) dirimu kepada Allah, jika kamu betul-betul beriman.” (Surah al-Maidah ayat 23).

Nabi Muhamad saw pernah bertanya kepada Malaikat Jibril apakah ertinya Tawwakkal dan apakah batasannya? 

Malaikat Jibril menjawab Tawakkal adalah satu kesedaran  bahawa seluruh makhluk tidak 
mendatangkan kemudharatan atau manafaat kepadamu,tidak memberi atau mengambil sesuatu darimu dan engkau tidak mengantungkan sebarang harapan kepada mereka.

Maka ini adalah ulasan saya dari konsep –konsep Tawakal yang dinyatakan di atas iaitu :

a)Manusia itu bergantung sepenuhnya pada Allah dan bukan pada selain-Nya. Kita yang  mengaku diciptakan oleh Allah dan bersyahadah wajib menyerahkan segala hidup dan mati kita hanya pada-Nya.Itu adalah janji yang selalu dilafazkan dalam solat

b)Tawakal berkait rapat dengan akidah dan tauhid seseorang yang mengaku dirinya muslim yang mukmin.Malangnya tidak semua muslim itu mukmin sehingga sanggup syirik dan menyekutukan Allah tanpa disedari. Umpamanya percaya pada bomoh, mengamalkan khurafat dan menilik nasib
Abdullah berkata Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:
"Ramalan itu berasal dari syirik, bukan dari kami, Allah Ta'ala akan menghilangkannya dengan tawakkal."(HR Tirmidzi)

c) Muslim yang sepenuhnya bertawakal kepada Allah secara tidak langsung akan sentiasa mengharapkan pertolongan dan bantuan dari penciptanya melalui  jalan solat dan berdoa. Kita akan sentiasa menadah tangan memohon kepada Allah  untuk  menyerahkan segala permasalahan yang sedang dihadapi.
Maka selayaklah kita meletakkan Tawakal sebagai pegangan yang pertama dan utama yang letaknya di takhta teratas dalam jiwa dan sanubari.

Kita sentiasa mengaitkan Tawakal dengan rezeki dan usaha. Namun usaha tanpa didahulukan tawakal terlebih dahulu seolah-olah mengutamakan dan mendahulukan usahanya  .Maka lahirlah muslim yang sombong dan  angkuh sambil berkata bahawa dengan sebab usahanyalah dia berjaya atau kaya sehingga lupa sebenarnya ia adalah  kerana Allah yang mengizinkannya.

Sebaliknya jika meletakkan tawakal dahulu kemudian diikuti usaha , nescaya individu tersebut akan mengucapkan syukur terlebih dahulu kepada Allah kerana dengan sebab Tawakalnyalah , dia mendapatkan keajayaan dan kekayaan umpamanya.

Al-Qur’an menyatakan fa idzaa ‘azamta fa tawakkal ‘ala Allah – “jika sudah berbulat tekad (niat kuat) maka bertawakallah kepada Allah” [qs. Ali Imran (3): 159]

Jadi bertawakal kepada Allah harus dimulakan dengan bulatnya tekad (niat) sampai selesainya usaha, dan ikhlas menerima apapun yang terjadi atau diperoleh.





Bertawakal Kepada Allah Adalah Kunci Rezeki

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sungguh, seandainya kalian bertawakal kepada Alloh dengan sebenar-benarnya, nescaya kalian akan diberi rezeki sebagaimana burung-burung. Mereka berangkat pagi-pagi dalam keadaan lapar, dan pulang sore hari dalam keadaan kenyang.” (HR. Ahmad, At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Al-Hakim).

 Allah berfirman yang ertinya, “Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendakiNya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Ath-Thalaq: 3). Ar Rabi’ bin Khutsaim berkata mengenai ayat tersebut, “Yaitu mencukupinya dari segala sesuatu yang membuat sempit manusia.”

Jangan lupa disamping berusaha  mencari rezeki atau kejayaan itu kita harus berdoa agar hasil yang diharapkan itu dipermudahkan Allah untuk mendapatkannya kerana rezeki ada di mana-mana.Rezeki itu pula  berbagai bentuk dan silih berganti namun tidak kan habis. Jika Allah menarik  sesuatu rezeki , itu adalah kerana Allah mahu menggantikan rezeki yang lebih baik kerana Ia amat Pemurah dan Maha Kaya.

Tawakal Bukan Bererti Tidak Berusaha

Meletakkan Tawakal terlebih dahulu bukan bererti menafi atau meniadakan usaha. Usaha itu sebagai pelengkap kepada tawakal kita kepada Allah. Berbekalkan tawakal, kita mampu bekerja seharian menyara hidup. Berbekal tawakal juga kita komited dan bersemangat mencari rezeki kurniaan Allah setiap hari tanpa jemu dan putus asa.

Renungkanlah bahawa pengaruh tawakal itu tampak dalam gerak dan usaha seseorang ketika bekerja untuk mencapai tujuan-tujuannya. Imam Abul Qasim Al-Qusyairi mengatakan, “Ketahuilah sesungguhnya tawakal itu letaknya di dalam hati. Adapun gerak lahiriah maka hal itu tidak bertentangan dengan tawakal yang ada di dalam hati setelah seseorang meyakini bahawa rezeki itu datangnya dari Allah. Jika terdapat kesulitan, maka hal itu adalah kerana takdir-Nya. Dan jika terdapat kemudahan maka hal itu kerana kemudahan dariNya.” (Murqatul Mafatih, 5/157)

Orang yang mendahulukan tawakal itu akan sentiasa menjadikan  solat dan berdoa sebagai cara hidup dan medium baginya memperoleh hasil yang baik sehingga setiap usahanya akan selari dengan kehendak Allah  kerana dia yakin, bahwa Allah tidak akan menetapkan sesuatu kecuali yang terbaik bagi dirinya baik di dunia maupun di akhirat.

Manakala orang yang berusaha tanpa bertawakal terlebih dahulu  akan bekerja bermati-matian mengejar kemewahan dunia  sehingga lalai dan lupa bahawa kehidupannya nanti akan menuju mati .

WAALLAHU A’LAM !!

4 comments:

Anonymous said...

Subhanallah.. suatu kupasan mengenai konsep tawakkal yang di luar kebiasaan. Saya amat bersetuju dengan pendapat saudara bahawa tawakkal itu sememangnya mendahului usaha. Namun persepsi masyarakat kini dilihat menyimpang dari konsep sebenar tentang tawakkal. Mungkin method dan cara hidup kita yang semakin moden ini menyebabkan salah tanggapan kita terhadap perkara ini.

Anonymous said...

ALHAMDULILLAH. NAK MUNGUBAH PERSEPSI MASY PADA ISLAM SANGAT SUKAR. ISLAM PERLU DIGALI DAN DIKAJI SECARA BERTERUSAN

LeeSF said...

Assalamu'alaikum....

Pandangan saudara memang bernas tapi agaknya belum memahami sepenuhnya konsep TAWAKAL itu.
Secara ringkasnya Tawakal itu adalah merupakan perkara terakhir iaitu penyerahan sepenuhnya kepada Allah setelah melakukan dua perkara iaitu usaha dan doa. USAHA dalam konsep Islam merupakan perancangan dan perlaksanaan sesuatu untuk mencapai sesuatu hajat dengan dimulakan NIAT KERANA ALLAH SEMATA DAN HANYA ALLAH SAHAJA YANG MAHA BERKUASA MEMBERI QUDRAT SERTA REZEKI. Doa pula dipanjatkan untuk memohon bantuan kepada Allah semoga segala usahakan dimakbulkan, diredhai sertakan diberikan rezeki yang diredhai.
TAWAKAL merupakan penyerahan keseluruhannya kepada Allah. Tawakal juga satu pengakuan dalam hati atau keimanan bahawa berjaya atau tidak sesuatu usaha itu adalah hak Allah dan bersedia dengan redha menerima apa juga ketentuan Allah setelah melakukan usaha yang termampu dan memohon doa pertolongan daripada Allah.

Kita boleh baca dan teliti artikel berikut sebagai panduan.

http://ust-asrimdsaman.blogspot.my/2012/10/salah-faham-konsep-tawakkal.html

Unknown said...

Saya sgt setuju.. Setelah ubah konsep doa usaha redha dan tawakal, emosi saya lebih terkawal.. Biarlah kita doa&usaha, selepas usaha gagal atau berjaya kita redha iaitu bahagia sebab kita yakin Allah hadirkan ujian sebelum kebahgian, dan terus bertawakal iaitu Allah yg maha berkuasa dan menentukan perjalanan hidup kita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...