Tinta Dari Dasar Hati Insan ....

MENYEMAK SEMULA KEHIDUPAN



Setiap orang tidak lari dari melalui hari-hari yang mendatang dalam kehidupan masing-masing. Cuma ia berbeza   situasi dan keadaannya mengikut cara hidup dan pandangan masing-masing. Namun adakah kita pernah meneliti dan memeriksa kembali kehidupan kita sama ada yang telah lalu atau yang bakal dilalui bagaimana cara dan situasinya nanti. Hari-hari tersebut sentiasa menuntut kita membuat keputusan, cara berfikir dan bertindak, menilai sesuatu sama ada baik atau buruk . Justeru bagaimana pula pegangan dan prinsip hidup kita yang kita guna pakai?

Seumpama badan kita yang memerlukan makanan yang  seimbang dan berkhasiat. Ini kerana mind set kita telah mengenalpasti bahawa makanan yang berkhasiat penting untuk tumbesaran dan menjamin kesihatan. Begitulah juga  kehidupan kita juga memerlukan 'makanan yang berkhasiat' agar kehidupan yang dilalui mengarahkan kepada jalan yang benar dan menuju kejayaan dunia akhirat. Namun sebaliknya akibat tidak mengambil makanan yang berzat dan berkhasiat itu, pastinya mendatangkan penyakit yang tidak kita inginkan.
Begitulah juga kesannya pada kehidupan , nescaya akan pincang dan songsang.

Oleh itu semaklah kehidupan kita adakah telah diberi dengan 'makanan yang berkhasiat' atau saya samakannya dengan 3 eleman di bawah ini :

A) NILAI DALAM DIRI

Nilai umpama kompas yang menentukan tindakan kita dalam situasi yang mencabar dan kritikal. Contoh jika seseorang itu dilanda kegagalan dalam dunia perniagaannya, apa yang akan dilakukannya apabila dipengaruhi seorang rakan untuk menyelesaikan masalah dengan jalan mencuri dan merompak?. Jika ia memilih untuk merompak, maka nilai dirinya belum tepat dan tetap.Sebaliknya jika dia memilih untuk tidak melakukan perbuatan mencuri dan merompak, maka nilai yang ada pada dirinya telah memandu dirinya memilih jalan yang benar.

Ingatlah bahawa ujian dan cabaran sentiasa mendatangi diri bagi menguji nilai iman yang ada dalam diri kita. Semakin kuat keimanan maka semakin kuatlah nilai-nilai itu bertapak  dalam dasar diri seseorang . Nilai iman tiada tandingannya dengan kemewahan dan hiburan , sama sekali jauh bezanya. Maka marilah kita semak beberapa item ini :

i) Apa yang selalu kita fikirkan dan bimbangkan?
ii) Untuk apa tenaga kita sering dihabiskan?
iii) Masa  kita , ke arah mana kita luangkan?
iv)Wang kita , untuk apa kita belanjakan?

Tanyalah persoalan-persoalan ini  pada diri dan jawablah dengan sejujurnya..!!

B) HARGA DIRI

Harga diri dimasukkan sebagai salah satu eleman penting dalam kehidupan kerana ia berkait rapat dengan nilai.Apabila nilai yang dipegang oleh seseorang itu baik , tepat dan benar , maka ia mampu untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupannya. Ini kerana nilai dirinya telah meletakkan harga dirinya pada tahap yang tinggi. Contoh di sini ialah apabila anda mengakui nilai amanah itu sesuatu yang baik dan benar , maka ia akan mengamalkan nilai amanah itu dalam kehidupan sehariannya. Maka ketika itu penilaian terhadap dirinya sendiri menjadi tinggi kerana ia telah merasa selesa dengan dirinya sendiri. 

Harga diri itu berpunca dari  dalaman seseorang yang akan dizahirkan  mengikut nilai yang dipegang olehnya . Maka secara langsung dan outomatik dirinya akan dihargai oleh orang lain bahkan mewujudkan keselesaan ketika bersama dengan orang lain.
 
Justeru perhatikan dirimu adakah harga diri anda tidak disabotaj dan merasa bahwa dirimu tidak mampu untuk berjaya kerana orang yang berjaya itu adalah orang yang memiliki harga diri dalam hidupnya...


C) KEYAKINAN

Keyakinan itu menentukan siapa kita , kerana dengan memilih keyakinan,  menjadikan kita orang yang paling kuat di dunia. Pegangan dan pendiriannya yang teguh sehingga syaitan pun tidak dapat menghalangnya daripada melaksanakan perintah Allah. Malah akidahnya tidak dapat dibeli umpama Bilal Bin Rabah yang sanggup diseksa semata-mata menjaga keyakinannya yang teguh terhadap keimanan kepada Allah Taala.

Malangnya umat Islam kini sebaliknya gagal mempertahankan keyakinan dirinya kerana inginkan keselesaan hidup dan tidak mampu menghadapi kesukaran dan rintangan . Maka jadilah hidupnya dilanda kebosanan , menjerit  kekosongan ,mudah kecewa dan marah . Lahirlah individu yang sentiasa berusaha mendapatkan apa yang mereka mahu tanpa menghiraukan siapa yang dia akan jadi. Ini adalah kesan dan akibat jika keyakinan telah hilang dalam diri

Agama islam telah mengajar erti keyakinan apabila kita diperintahkan mengucap kalimah syahadah  iaitu
لا اله الأ الله sebagai asas kehidupan setiap muslim. Justeru semak semula diri kita apabila kita masih bersikap ragu-ragu sebagai lawan sifat keyakinan. Sedangkan ragu-ragu itu sifat syaitan yang perlu dijauhi. Perhatikan juga  nilai dirimu apabila merasa ragu-ragu, pastinya berpunca dari konflik dan masalah nilai telah wujud dalam dirinya. Ia sama ada tidak mempunyai nilai atau dirinya dalam keadaan bercelaru dan ragu-ragu. Umpama seoarang wanita untuk menutup rambutnya dengan memakai tudung tetapi masih ragu-ragu dengan perintah Allah dan tidak mahu memakai tudung.

Nabi Muhammad saw bersabda maksudnya : " Sesungguhnya sesuatu yang paling aku takuti bagi umatku adalah kelemahan yakin. " ( Riwayat Ibn Abi Dunya dan Al-Tabarani ) .

KESIMPULAN 

Hanya Islam satu-satunya agama yang menetapkan nilai seseorang , membentuk keyakinan seterusnya meletakkan harga diri seseorang muslim itu pada tahap yang tinggi. Dalam Islam ianya dipanggil tauhid atau akidah atau pegangan dan kepercayaan seseorang. Dengannya seseorang itu akan melihat ,  menilai dan merasai segala-galanya dengan kesedaran wujudnya Allah yang maha berkuasa. Justeru muslim yang sejati itu tidak hanya merujuk kepada hati , akal dan emosinya semata-mata tetapi ia akan merujuk kepada wahyu dan sunnah .

Perhatikanlah diri kita adakah  arak, dadah, seks bebas yang berleluasa dalam masyarakat kini menjadi budaya yang dikatakan dapat mengubati masalah jiwa manusia. Justeru telitilah dan semak 3 eleman yang dihuraikan di atas adakah menepati atau sebaliknya Semak juga krisis nilai dalam diri yang sebenarnya berpunca dari  krisis iman . Oleh sebab iman semakin terhakis , maka nilai - nilai murni pun turut terhakis.

Jika tujuan hidup untuk beribadah , maka nilai hidup yang perlu kita miliki ialah berkorban , ikhlas dan sabar . Sebaliknya jika nilai kita untuk berseronok dan bersenang lenang maka tujuan hidup yang mulia akan terabai dan terbiar..

Mari bersama muhasabah diri!!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...